She is ADILA ...

Tuesday, September 8, 2015

Systemic Lupus Erythematosus (SLE)

Apa itu SLE? 
SLE atau LUPUS adalah sejenis penyakit kronik dimana antibodi tubuh seseorang bertindak balas dengan tisu tisu badan mereka sendiri. Kebiasaannya pesakit akan mengalami masalah seperti radang kulit (tompok tompok merah dibahagian kulit termasuk dibahagian muka), sakit sendi dan akan membuatkan mereka menjadi letih serta demam.

SLE akan menyerang?
Beberapa sistem tubuh seperti kulit, sendi, paru paru, buah pinggang, sistem saraf, tulang dan beberapa organ lain didalam badan.

Siapakah yang mendapat SLE?
90% dianggarkan lebih menyerang wanita berbanding lelaki serta kanak kanak. Biasanya, diusia boleh melahirkan anak, wanita lebih berisiko mendapat penyakit ini. Amat jarang sekali berlaku pada kanak kanak perempuan atau setelah wanita itu sudah putus haid.

Faktor yang menyebabkan seseorang mendapat penyakit SLE
Faktor keturunan adalah menjadi penyebab utama seseorang itu berkemungkinan berisiko mendapat SLE. Selain daripada itu, faktor kecelaruan sistem pertahanan tubuh juga menjadi punca sakit kronik ini.

Bagaimana untuk merawat pesakit SLE
Hydroxychloroquine
Ubat anti-malaria yang pada asalnya digunakan untuk merawat malaria didapati amat berkesan untuk merawat SLE. Hydroxychloroquine sahaja boleh diberi atau digabungkan dengan ubat lain. Ianya biasa digunakan untuk merawat keletihan, sakit sendi, sakit kulit, dan keradangan paru-paru. Kajian klinikal mendapati penggunaan berterusan hydrochloroquine boleh menghalang penyakit SLE dari berulang.
Kesan sampingan ialah sakit perut dan kerosakan pada retina walaupun sangat jarang berlaku.
Kortikosteroid
Merupakan rawatan utama untuk SLE. Jenis kortikosteroid yang biasa digunakan ialah prednisolone. Kortikosteroid boleh diberi dalam bentuk pil untuk dimakan, dalam bentuk krim yang disapu pada kulit, atau suntikan. Memandangkan tindakan dan reaksinya yang tersangat kuat dan ketara sekali, penggunaan dalam dos yang rendah adalah diamalkan untuk keberkesanan rawatan.
Kesan sampingan jangka pendek ialah mendapat bengkak muka, tambah selera makan, serta penambahan berat badan. Kesan sampingan ini akan hilang apabila pengambilan ubat ini di hentikan. Namun begitu, pemberhentian pengambilannya dengan secara tiba-tiba adalah merbahaya. Oleh itu doktor akan mengurangkan dos dengan secara sedikit demi sedikit hinggalah ianya boleh diberhentikan. Kerjasama di antara doktor dan pesakit amatlah penting bagi mengelakkan salah faham tentang cara pemberhentian ubat ini.
Kesan sampingan jangka panjang kortikosteroid pula ialah tulang rapuh (osteoporosis), tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tinggi, paras gula dalam darah yang tinggi (diabetes), kerosakkan pada arteri, mudah mendapat jangkitan, dan katarak. Lagi tinggi dosnya dan lebih lama tempoh kortikosteroid diambil maka lagi ketara dan teruklah kesan sampingan yang akan dialami. Doktor akan cuba mengurangkan pengambilannya dengan menggabungkan bersama ubatan yang lain yang kurang kesan sampingan, dan apabila SLE dapat dikawal, dos kortikosteroid akan dikurangkan secara berperingkat. Bagi mengurangkan risiko osteoporosis, pesakit akan diberi ubatan tambahan seperti kalsium, vitamin D, dan lain-lain lagi.
Immunosuppresif
Bagi sesetengah pesakit yang buah pinggang dan sistem saraf pusatnya terjejas oleh SLE, sejenis ubat yang dipanggil immunosuppresif mungkin digunakan. Jenis-jenis immunosuppresif, seperti Cyclophosphamide (Cytoxan) dan mycophenolate mofetil (CellCept), bertindak menghalang sistem imun yang terlalu aktif dengan menyekat pengeluaran antibodi. Immunosuppresif boleh diberi dalam bentuk pil untuk dimakan atau secara infusi (drip). Kesan sampingannya ialah loya, muntah, gugur rambut, masalah pundi kencing, kurang kesuburan, risiko untuk mendapat kanser, serta senang mendapat jangkitan. Kesan sampingan akan lebih ketara jika penggunaan ubat ini dilanjutkan dalam masa yang lama. Seperti juga penggunaan ubatan SLE yang lain, jika ubatan ini diberhentikan ada kemungkinan serangan SLE akan berulang kembali.
Kerjasama yang rapat antara doktor dan pesakit sangat penting untuk memastikan rawatan yang diterima akan memberi kesan yang baik. Pesakit perlu memberitahu doktor dengan segera sekiranya terdapat gejala baru untuk mengesan sebarang kesan sampingan yang memudaratkan. Satu perkara yang perlu diingatkan ialah pesakit tidak boleh menukar ubat dan memberhentikan ubat secara spontan tanpa berbincang dengan doktor mereka terlebih dahulu.

No comments: